Thursday, April 9, 2009

Kolam Air Panas Bemban


Taman Rekreasi Air Panas Jasin atau Jasin Hot Springs Recreational Park merupakan satu destinasi istirahat yang perlu dikunjungi sekiranya berada di Kampung Ayer Panas. Kolam yang menyediakan air mineral semula jadi iaitu Air Mineral Suam Tinggi Sulfur Putih Beralkali atau alkaline white-sulphur warm springs menyihatkan seisi keluarga kerana khasiat air mineral boleh mencantikkan kulit, menyembuhkan penyakit kulit dan menghilangkan tekanan.



Menurut Norzin Karim, Pengurus Syarikat Pinduco Malaysia yang mengambil alih pengurusan pada Julai 2008 sehingga tempoh 20 tahun akan datang, taman air panas ini dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Jasin dan menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia.

Berkonsepkan “Perkelahan Keluarga,” pengunjung yang datang boleh membawa bekalan makanan mereka sendiri. Harga tiket yang dikenakan untuk pengunjung dewasa ialah RM2.00 pada setiap hari Selasa sehingga Jumaat dan RM6.00 pada hujung minggu serta cuti am. Manakala bagi kanak-kanak pula, bayaran sebanyak RM2.00 dikenakan pada hari Selasa sehingga Jumaat serta RM3.00 pada hujung minggu dan cuti am.


Antara perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan ialah terapi ikan kiss-kiss, menara tinjau, taman permainan kanak-kanak, surau, shower fountains, kolam renang air mineral panas untuk dewasa dan kanak-kanak, kolam aktiviti kanak-kanak, wakaf serta laluan refleksologi.


No comments:

Post a Comment

Post a Comment